Tenanglah Di Sana Adikku

Assalamualikum w.b.t.


Harini saya akan menulis tajuk yang agak serius dan menyentuh hati. Menyentuh hati saya sebenarnya. Sudah 5 tahun saya cuba menulis entry ini. Pada tarikh 10 Mei setiap tahun saya mengadap PC cuba menekan keyboard tetapi tiada sepatah kata yang mampu ditulis di blog saya. Hanya ruangan entry blog yang kosong. Tiada tajuk, tiada isi kandungan, tiada gambar, tiada heading, subheading dan minor heading, tiada labels apatah lagi search description. Hanya juraian air mata yang jatuh membasahi keyboard. Walhal pada masa itu saya baru memikirkan tajuk entry sahaja. Tidak kira di pejabat mahupun di rumah, air mata ini jatuh tanpa segan silu dan tanpa mampu ditahan. Hari ini Alhamdulillah saya gagahkan diri untuk menulis agar coretan ini menjadi ingatan manis saya untuk arwah adik saya.



Adik saya, kadang-kadang kami panggil Adik. Lahir pada 22 Mac 1987. Di masa kecilnya seorang kanak-kanak yang comel tapi nakal. Itulah yang saya dapat ingat tentang dia di masa kecilnya. Apa yang dia tidak lakukan, tangan mana yang tidak terseliuh, lutut mana yang tiada parut, juga jahitan di beberapa tempat. Memang nakal orangnya. Kami kerap buat kerja nakal bersama-sama tapi yang selalu jadi mangsa kene rotan dialah, sebab dia lagi ekstrem nakalnya hehe. Saya ingat lagi, saya dan abang saya Izzy Kamil suka bergaduh tentang siapa buat siapa. Masa tu adik baru pandai bercakap. Abang akan tanye "Sape buat adik? Abang ke kakak?". Dia akan jawab "Kakak". Saya pulak tanye "Siapa buat adik? Kakak ke abang? Dia jawab "abang". Itulah diulang-ulang beberapa kali.

Bila adik meningkat besar, dia semakin renggang dengan kami. Saya pun tidak pasti bila mula renggang, mungkin juga bila saya masuk sekolah berasrama semasa tingkatan satu. Kemudian kami sedikit marah dengan perangai adik kerana kami masukkan dia di sekolah sukan yang bagus, tetapi dia buat hal dan berhenti sekolah, balik bersekolah di kampung. Pernah saya menjadi guru sementara di sekolahnya tidak jauh dari kampung kami. Pergi dan balik bersama, tapi di sekolah tidak pernah terserempak dengan dia. Seperti dia mengelakkan diri daripada saya. Saya pula tidak pernah ambil peduli, tidak pernah cuba korek dengan kawan-kawannya apa masalah dia. Kalau dia minta duit poket saya tak banyak cakap beri je. Pernah sekali tu saya baru beli kereta, dia nak bawa saya tak bagi sebab dia tiada lesen. Sepatutnya saya teman  dia test drive kereta itu kan. Sekarang kalau sorang-sorang naik kereta teringat pulak yang saya tak pernah beri dia bawa kereta saya. Kakak yang sangat kedekutkah saya atau saya memang fikirkan keselamatan dia dan orang lain.

Macam tulah hubungan kami, renggang sekali. Sehinggalah saya berkahwin dengan suami saya. Dia boleh masuk dengan suami saya, mungkin minat yang sama suka tengok bola. Sejak saya kahwin kalau balik kampung nampaklah adik gembira dan ada kawan. Diorang akan keluar tengok bola sama-sama di kedai mamak atau jalan-jalan pusing kampung tunjuk short kat sana sini kat abang ipar baru. Ketika tu dengan tidak semenanya saya pun menjadi sedikit rapat dengan dia.

Selepas berhenti belajar di kolej, adik duduk di kampung agak lama dengan buat kerja-kerja kampung. Dia belajar bahagian sebab akhir-akhir tu minat menjurus ke arah masakan. Sampai satu masa dia buat keputusan untuk ke Kuala Lumpur bekerja. Dia mendapat pekerjaan di sebuah restoran francais di Damansara. Sepanjang adik bekerja tu, ada sekali dia datang ke rumah kami. Saya dan suami sangat gembira. Rasanya itulah pertama kali dia datang ke rumah dan saya memasak untuknya. Masak sambal sardin sahaja dan sayur. Selepas itu Adik kerap SMS atau telefon saya dan suami bertanya khabar. Alhamdulillah kami semakin rapat. Seminggu kemudian Mama dan Baba pula datang ke rumah saya. Kata Mama, Baba nak sangat jumpa adik dan lihat tempat dia bekerja. Jadi kami pergi ke tempat Adik bekerja, dia gembira, Baba pun puas hati dapat jumpa adik.

Minggu berikutnya saya ke Kuantan berjalan dengan suami sambil bertandang ke rumah kakak dan abang. Tak boleh ikut kata Adik sebab dia tidak cuti. Kebetulan bapa saudara pula meninggal di Jerantut, kami segera pulang ke Jerantut. Adik ada menelefon, minta sampaikan salam kerana dia tidak dapat balik menziarah. Kemudian dalam seminggu tu saya bekerja seperti biasa, adik ada menelefon katanya dia datang bersama kawan ke workshop berhampiran rumah saya tapi tidak sempat singgah, saya pula bekerja. Itulah kali terakhir saya bercakap dengannya.

Hari Sabtu 9 Mei 2009 saya mendapat panggilan dari abang di kampung. Kebetulan suami tiada di rumah menghadiri kenduri. Saya tidak ikut serta sebab kurang sihat, sakit kepala dari malam sebelumnya. Kata abang adik kemalangan, keadaannya teruk dan ditahan di Hospital Universiti. Saya bergegas ke sana kerana kata abang tiada siapa pergi tengok Adik lagi sebab baru tau, itupun polis datang ke kampung memberitahu. Terkejut saya terus ke hospital. Sampai di sana kakak dan suami telah sampai dan kakak sedang menangis. Tatau nak cerita bagaimana tetapi keadaan adik sangat kritikal. Tak dapat bayangkan macamana keadaan mama bila mendapat tahu berita. Tiada luka parah, tetapi koma kerana kepala terhantuk. Jika sembuh dia mungkin tidak dapat hidup seperti biasa kata doktor. Rupanya dia kemalangan sejak hari khamis, tetapi pihak polis hanya dapat jejak alamat kampung melalui kad pengenalannya.

Mama dan Baba sampai di sebelah petang. Sebak sangat tengok Mama sampai dengan lemah longlai, saya terus pimpin dia ke katil adik. Kami hanya mampu berdoa dan membacakan Yassin untuk adik. Mama tidak henti bercakap-cakap dengan adik. Kata Mama mungkin adik boleh dengar kerana air mata sentiasa membasahi pipi adik. Perlahan-lahan Mama lap air mata dia. Kata Mama lagi dia redha jika Allah tentukan Adik akan pergi, kerana dia tidak mahu adik terus menderita hidup dengan alat sokongan hayat. Seorang demi seorang adik beradik kami sampai termasuklah yang di Perlis. Malam itu mama tidak mahu balik, katanya dia nak temankan adik. Tetapi kami suruh juga dia balik berehat di rumah kakak. Sampai saja di rumah dapat panggilan dari abang mengatakan adik telah pergi buat selama-lamanya. Di hospital saya pimpin lagi tangan Mama, bila terlihat saja wajah adik terbujur kaku, mama terus terduduk di sisi katil adik. Jenazah dibawa ke bilik mayat tetapi akan dibedah siasat pada sebelah paginya.  Semasa di hopital saya sempat berjumpa dengan rakan serumah adik yang kami tidak kenal pun sebelum ini. Macam-macam diceritakan tentang arwah. Kata mereka arwah ni sebenarnya sangat penyayang dan manja (manja dengan mama). Dia selalu bercerita perihal kami adik beradik kepada rakan-rakan serumah dia. Bila saya kenalkan diri pada kawan-kawannya, mereka kata "oo inilah kakak yang di Nilai tu, dia cerita akak masakkan lauk untuk dia".

Esoknya selepas post mortem, suami saya dan abang-abang saya terus memandikan dan mengkafankan jenazah. Saya dan Mama dapat melihat wajah adik setelah dikapan, sangat tenang dan sedikit tersenyum. Kemudian kami beriringan dengan jenazah pulang ke kampung. Setiba di kampung saudara-mara dan jiran memenuhi rumah kami. Saya sungguh tak tertahan melihat wajah adik buat kali terakhir. Ketika pengkebumian, saya lihat penuh penduduk kampung yang datang berziarah. Yelah jarang sekali terjadi orang muda yang meninggal. Biasanya orang tua yang telah sakit yang pergi dahulu. Memang tidak disangka-sangka Adik dijemput Allah terlebih dahulu. Di saat saya baru mula-mula rapat kembali dengan dia. Seminggu sebelum dia kemalangan saya ada belikan dia sepasang baju sukan, tetapi tidak sempat nak berikan pada dia. SElepas dia pergi tu, saya takut nak keluarkan baju dari almari, saya terpandang sipi-sipi sahaja plastik baju itu. Sampailah satu hari say keluarkan dan saya menangis puas-puas depan baju tu. Baju tu kemudian saya beri pada abng di kampung. Rasa macam satu beban sebak yang pedih dibawa keluar dari diri saya.

Menjadi kebiasaan di pagi raya kami akan menziarah kubur adik dahulu. Setiap tahun begitulah membaca yasin, doa dan baba akan memberi nasihat atau bercerita tentang adik. Baba dan adik memang agak renggang dan selalu tidak sefahaman. Baba saya seorang ayah yang tegas dan garang. Tetapi setelah adik meninggal ni saya baru nampak kelembutan dan kasih sayang Baba pada anak-anak. Setiap kali baca Yassin sampai di bahagian-bahagian tertentu baba akan sebak dan tersekat-sekat bacaannya. Mungkin ada maksud tersirat yang dia faham dan mengingatkan dia tentang arwah Adik. Saya selalu ingat kata-kata Baba  tentang lupa, kata Baba "Dalam hal-hal berkaitan kematian, lupa itu satu nikmat". Pada mula kita kehilangan seseorang, kita sedih, sebak setiap hari menangis, solat menangis, mengaji menangis, baca doa menangis, tidur pun menangis. Tapi lama kelamaan kita lupa. Bukan lupakan orang yang meninggal, tetapi lupa akan kesedihan itu. Walaupun saya kurang bersedih tentang arwah sekarang, tapi ada sesetengah masa atau ketika atau peristiwa yang mengingatkan saya tentang arwah adik, saya akan sebak dan menangis. Apabila Rania telah besar dan faham ni, saya mula menceritakan tentang Pak Lang dia, agar dia tahu yang sebenarnya dia ada lagi seorang bapa saudara. Bila saya lihat Reefqy pula, macamana manjanya dia, barulah saya faham macamana rapatnya arwah adik dengan Mama. Tak dapat bayangkan perasaan Mama semasa anak yang dikandung, dihahirkan, disusukan dan dijaga hingga umur 20an, kemudian dijemput Allah terlebih dahulu.

Tenanglah di sana adikku, insyaAllah kami di dunia pastinya dijemput Allah, cuma waktunya belum diketahui.

15 comments:

  1. salam.sungguh sedh dan sebak.kisha tak akan di lupakan.saya pula rindukan arwah 2 org abg saya.dia masih bayi. tu lah tak pernah jumpa.walaupun dia tiada masa saya belum lahir tetap berhajat nak jumpa dia. moga d permudahkan.

    al fatihah utk adik sis.

    ReplyDelete
  2. Terima kasih suri..alfatihah untuk arwah abang suri juga..insyaAllah kita mohon pada Allah kelak dipertemukan dengan mereka

    ReplyDelete
  3. sama-sama kembali.
    sabar ya suri.mmg peritkan sebab banyak pengalaman dna membesar bersama tersayang, amin.

    ReplyDelete
  4. Sedih kisahnya Syza..Al Fatihah untuk arwah. Semoga beliau tenang di sana..

    ReplyDelete
  5. Salam, Al-Fatiahah untuk arwah adik...Semoga arwah ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman.

    ReplyDelete
  6. kasih sayang akan mekar bersama kenangan. biar ia subur dalam doa dan harap. moga bahagia di sana.

    p/s: jomlah up entri :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Up entry tu gimana sis..tulis entry baru ke..sori sy blurr hehe

      Delete
  7. Al-Fatihah..memang sukar untuk menulis tentang orang yang kita sayang..CP pun sampai sekarang tak mampu lagi tulis tentang arwah bapa CP..semoga mereka semua ditempatkan dikalangan orang-orang yang beriman.

    ReplyDelete
  8. Memang terharu kisah ni..semoga tenang arwah di sana...rasa macam tak sempat nak habiskan artikel ni..memang boleh mengalirkan air mata ni..emmm

    ReplyDelete
  9. sedih membaca kisah ni..moga adik tenang di sana

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...